Bahang musim panas kian terasa walaupun masih berada dalam musim bunga. Suhu kini mencecah 37 darjah Celcius. Walau berlindung di bawah teduhan pokok, bahang panas tetap terasa. Apatah lagi apabila berada di bawah sinaran mentari secara langsung. Kulit seakan-akan terbakar. Namun, secara tidak sedar, muncul hidupan-hidupan yang sebelum ini amat jarang kelihatan mahupun terasa kehadirannya. Musim sejuk yang lalu memaksa mereka berhibernasi atau bersembunyi menyimpan tenaga untuk menghasilkan haba yang cukup untuk selamat sepanjang musim sejuk. Dan kini, musim panas yang kian menyingsing menyaksikan kelahiran, kehadiran dan kehampiran makhluk Allah ini dengan kita.
Lalat atau nama saintifiknya Musca domestica, adalah makhluk yang cuba diketengahkan. Lalat ini sememangnya tidak asing bagi sesiapa sahaja, kerana kehadirannya memecah keheningan suasana, dengan bunyi kepaknya terngiang-ngiang di telinga, seringkali menarik perhatian manusia, namun bukanlah dari sudut yang positif, bahkan mengganggu manusia. Inilah norma kehidupan seekor lalat. Tidak dapat tidak, lalat ini terus memikul tanggungjawabnya sebagai seekor lalat dengan penuh istiqamah. Kedengaran aneh? Ayuh sama-sama kita renungkan.
Lalat dan sampah bagaikan isi dan kuku, tidak akan sekali-kali dapat dipisahkan. Andai tiada lalat, kesunyianlah sampah bagai lagu tak berirama. Kenapa lalat? Secara biologi, lalat sejak dari peringkat telur perlu kepada perumah yang akan menjadi sumber makanannya kelak. Berunsurkan hubungan parasitisme, larva-larva yang menetas akan memakan perumah tersebut dari dalam bagi sesetengah spesies lalat. Walaubagaimanapun, bagi kebanyakan spesies lalat, telur-telur akan diletakkan pada bangkai-bangkai yang akan menjadi sumber penjamin kesinambungan spesies lalat tersebut. Larva-larva yang ditelurkan akan me'licin'kan bangkai-bangkai yang dihinggapi dan membesar sehingga sampai ke tahap yang memerlukannya untuk berkempompong, mengalami proses revolusi tumbesaran kedua selepas telur. Selesai sudah berkepompong, lahir seekor lalat berkepak dua bermata bulat (secara kasar) berkaki enam, berwarna warni bergantung kepada jenis dan spesies.
Manusia seringkali memandang sesetengah perkara yang dirasakan tidak elok itu buruk bagi dirinya. Sedangkan Allah berkata di dalam surah Al Baqarah ayat 216 yang bermaksud “Kamu mungkin membenci sesuatu, sedangkan ia baik bagimu; dan kamu mungkin menyukai sesuatu, bahkan ia buruk bagimu. Allah mengetahui walhal kamu tidak pula mengetahui”. Dalam ayat yang ke-29 pula, Allah berfirman yang bermaksud “Dialah yang menciptakan bagimu (wahai manusia) segala apa yang ada di atas muka bumi ini”. Daripada kedua-dua ayat AlQuran ini, dan perbincangan yang sebelumnya, adakah wujud keserasian antara keduanya? Lalat baik untuk manusia?
Andai tiada lalat di bumi, hilanglah keseimbangan alam, penyakit berleluasa, dunia berbau lebih dahsyat daripada sampah. Apakan tidak, lalat secara tidak langsung menjadi anasir yang menguraikan bangkai, selepas kuman. Penguraian yang berlaku kesannya lebih tampak daripada kuman, atas faktor saiz. Maka dapat disimpulkan di sini, lalat tidaklah sejahat yang disangka. Kehadirannya membawa seribu erti, tidak terungkap dengan kata-kata. Lalat itulah yang menghabiskan sisa-sisa makanan yang tidak manusia habiskan, kerana tamaknya mereka kepada makanan, kerana nafsu mereka yang tidak pernah kenal erti puas.
Lalat itu boleh dikatakan seekor hamba yang patuh kepada perintah Tuannya. Lalat itu sedar akan tanggungjawabnya, membantu manusia memakmurkan bumi Allah ini. Mereka dengan rela memperhambakan diri melaksanakan tugas-tugas yang manusia rasakan kotor ini. Mereka patuh dan tetap utuh melaksanakannya, kerana mereka tahu mereka hanyalah makhluk. Mereka sedar mereka tertakluk di bawah kekuasaan Allah yang telah menetapkan bagi mereka tanggungjawab ini dan mereka laksanakan dengan sepenuh hati, kerana mereka hanya hamba. Bukankah lalat-lalat ini lebih baik daripada manusia, yang tidak pernah sedar akan tanggungjawab masing-masing yang telah mereka pikul sejak alam ruh lagi? Manusia yang sentiasa sombong dalam menyerahkan diri kepada Allah hanyasanya merasakan dunia ini seolah-olah mereka yang punya. Lalat-lalat itu bahkan lebih baik dari manusia dalam melaksanakan tugas mereka, dan tidak pernah sekalipun lalat-lalat ini melanggar arahan dan mengabaikan tanggungjawab yang diberi. Mungkin dirasakan lalat-lalat 'ponteng' kerana sering berlegar-legar di kepala manusia, dirasakan sebagai satu gangguan. Namun bukanlah lalat itu berniat untuk mengganggu, bahkan mereka di situ menjalankan tanggungjawab mereka mencari tempat yang baik untuk zuriat-zuriat mereka ditelurkan, tempat yang secara umumnya berbau kurang enak bagi manusia. Tetapi itulah hakikat tugas lalat, mencari bangkai-bangkai agar dapat membantu manusia mengurus bumi Allah ini.
Lebih hebat lagi, lalat antara makhluk Allah yang disebut di dalam AlQuran selain labah-labah dan semut. Di dalam surah AlHajj ayat ke-73, Allah berfirman yang mafhumnya “Wahai sekalian manusia! Telah dibuat satu perumpamaan kepadamu, maka dengarkanlah. Sesungguhnya segala yang kamu seru selain Allah sekali-kali tidak dapat menciptakan seekor lalat pun, walaupun mereka bersatu untuk menciptakannya. Dan jika lalat itu merampas sesuatu dari mereka, mereka tidak dapat merebutnya kembali dari lalat itu. Amatlah lemah yang menyembah dan juga yang disembah (selain Allah)”. Subhanallah, alangkah indahnya kata-katamu ya Ilahi. Andai direnung kembali, jika lalat ditampar, keluarlah segala isi perut berwarna warni. Dari mana datang semua itu? Justeru, manusia tidak akan sekali-kali dapat mencipta sesuatu yang serupa dengannya- lalat yang mampu hidup, terbang, mencari makanan, bercanda, bertelur dan mati yang mengemudi dengan sendiri. Dan bahagian kedua ayat itu menunjukkan kelemahan manusia yang sombong, merasakan diri mereka bebas dari sebarang tanggungjawab terhadap Penciptanya, bahkan mensyirikkanNya. Bukankah lalat itu lebih baik, mengakui kewujudan Maha Pencipta dan akur kepada perintah Pemiliknya?
Demikianlah Allah memberi pengajaran kepada hamba-hambaNya, dan mengingatkan mereka pada tanggungjawab masing-masing. Demikianlah juga Allah berhikmah dengan hamba-hambaNya dalam mengingatkan mereka kepada tujuan penciptaan manusia. Tidaklah Allah menciptakan sesuatu itu dengan tujuan yang sia-sia, seperti sangkaan para malaikat ketika Allah mengumumkan penciptaan manusia kepada mereka, mereka menyangka manusia ini akan mengadakan kerosakan dan berperang sesama mereka di muka bumi, tapi Allah lebih mengetahui daripada para malaikat ( AlBaqarah 30). Begitulah juga lalat. Jangan disangka lalat itu hanyalah 'menyemak', bahkan lalat inilah yang membantu manusia hidup. Bahkan dalam bidang perubatan, larva-larva lalat digunakan untuk merawat luka yang sukar untuk sembuh, kerana larva-larva itu memakan darah kotor dan nanah yang ada. Benarlah kata-kata Allah!
{ditulis selepas ketidakpuasan bermain bola akibat kehadiran makhluk-makhluk ini}
No comments:
Post a Comment