Friday, March 5, 2010

Khutbah pertama~

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Wahai sekalian manusia, bertaqwalah kamu kepada Tuhanmu yang mencipta kamu dari seorang diri, dan diciptakan daripadanya pasangannya dan dikembangbiakkan daripada keduanya lelaki dan perempuan yang ramai dan bertaqwalah kepada Allah yang dengannya kamu meminta dan peliharalah silaturahim, kerana Allah senantiasa mengawasi kamu. Wahai orang-orang yang mengaku dirinya beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan berkatalah dengan ucapan yang benar, nescaya amal-amal kamu akan dibaiki dan dosa-dosa kamu diampunkan, dan barangsiapa taat kepada Allah dan Rasulnya, maka sesungguhnya dia telah berjaya dengan sebenar-benar kejayaan.

Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dengan melaksanakan segala perintahNya dan menjauhi segala laranganNya. Pada tengah hari ini, mimbar akan cuba menyentuh suatu pandangan alam yang baru, mengangkat paradigma-paradigma yang selama ini membeku di benak sanubari.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Secara umumnya diketahui bahawasanya pemuda merupakan tonggak kepada kemajuan dan kejayaan sesuatu bangsa. Namun di mana praktikalitinya? Pemuda-pemuda hari ini kian hari kian hanyut ditelan dek zaman yang tidak pernah berhenti untuk menunggu manusia. Beredarnya zaman tanpa kita sedari, kerana asyik dengan mehnah-mehnah anasir moden yang datangnya bertali arus dalam menjerumuskan manusia ke lembah kehinaan. Ditambah pula dengan keinginan para pemuda yang memuncak sekitar umur remaja menjelang dewasa. Alangkah sedih dan bertambah pilu apabila melihat gelagat kebanyakan pemuda-pemuda kita yang mana tindak-tanduknya langsung tidak menggambarkan peribadi seorang Muslim. Identiti Muslim makin lama pudar dalam diri lalu diganti oleh budaya-budaya hedonisme yang langsung tidak membawa sebarang manfaat kepada manusia sejagat Entah berapa ramai remaja Muslim yang masuk wad, dek bergaduh kerana berebutkan seorang wanita. Entah berapa ramai yang mati katak hanya disebabkan overdose dadah. Teringat sebuah kisah yang termaktub di dalam alQuran yang bercerita perihal beberapa orang pemuda atau lebih dikenali dengan Ashabul Kahfi. Firman Allah SWT:

نَحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَأَهُمْ بِالْحَقِّ إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى

Kami ceritakan kisah mereka kepadamu (Muhammad) dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahkan kepada mereka petunjuk;(Al Kahfi 13)

Sebahagian surah ini menceritakan keadaan dan peristiwa-peristiwa yang berlaku kepada pemuda-pemuda tersebut. Sebilangan kecil pemuda yang terus setia beriman kepada Allah, ketika mana insan-insan yang lain leka dengan patung-patung sembahan yang tiada mampu untuk memberi sebarang manfaat mahupun mudharat. Lalu Allah menidurkan mereka selama 309 tahun dan dibangkitkan semula, sebagai bukti kekuasaan Allah kepada mereka dan orang-orang yang beriman. Namun, apa yang signifikan dari kisah ini, apabila dibangkitkan semula, pemuda-pemuda tersebut mendapati seluruh penduduk bandar itu telah menganut agama Allah. Andai diperhatikan dengan teliti, ayat ini sudah cukup untuk mengingatkan para pemuda sekalian bahawa teras perubahan ke arah suatu masyarakat yang lebih baik adalah pemuda yang semangatnya tidak akan pernah luntur.

Hadirin Jumaat yang dikasihi sekalian,

Tahukah kamu sekaliannya bahawa semua sahabat nabi, umur mereka bawah 30 tahun apabila menerima cahaya hidayah Islam. Namun begitu, mereka merupakan golongan yang senantiasa disebut-sebut sehingga ke hari ini, disebabkan oleh ketinggian keimanan, ketokohan mereka, nilai akhlak yang dibawa, darjat ilmu yang tinggi, serta keberanian mereka dalam mengejar janji Allah yang pasti. Merekalah role model atau contoh tauladan terbaik selepas kewafatan Rasulullah. Antaranya
Ali 10 tahun
Abdullah ibn Umar 13
Ubaidah ibn alJarrah 13
Utbah ibn Amir 14
Jabir ibn Abdullah 15
Zaid bin Harithah 15
Abdullah ibn Mas'ud 16
Khabbab ibn alArrat 16
Zubair ibn alAwwam 16
Thalhah ibn Ubaidullah 17
Abdul Rahman ibn Auf 17
Arqam ibn Abil Arqam 17
Saad ibn Abi Waqqas 17
Asma bint Abu Bakr 17
Muaz ibn Jabal 18
Mus'ab ibn Umair 18
Abu Musa alAsy'ari 22
Jaafar ibn Abi Talib 22
Uthman ibn Affan 25-31
Abu Hurairah 25-31
Umar ibn alKhattab 25-31
Dipetik daripada kata-kata pendakwah bebas Australia, Bilal Assad, beliau mengatakan bahawa nabi amat sedar tentang kepentingan pemuda demi kebangkitan Islam. Perhatian yang istimewa diberi kepada mereka dalam mendidik mereka sehingga mencapai tahap mampu berkorban harta dan jiwa demi menegakkan syiar Islam di muka bumi Allah ini. Sahabat-sahabat ini sedar bahawa Islam tidak akan mampu tertegak jika tidak ada yang mahu berkorban. Pengorbanan pada jalan Allah ini bukanlah sesuatu yang sia-sia, bahkan mendapat pengiktirafan daripada Allah. Teringat sekali lagi kisah salah seorang sahabat terkemuka, Usamah bin Zaid bin Harithah yang sejak kecil telah dididik secara langsung oleh Rasulullah bersama-sama cucu baginda Hasan dan Husin. Sewaktu perang Uhud, beliau yang masih kecil telah keluar bersama rakannya untuk turut serta dalam peperangan tersebut, tetapi dinafikan keterlibatan mereka kerana masih kecil. Ketika perang Khandaq hendak berlaku, Usamah berusaha menjijit kakinya agar kelihatan tinggi supaya beliau dapat turut serta dalam peperangan itu. Melihat kepada kesungguhan Usamah, Rasulullah membenarkannya untuk turut sama menegakkan panji-panji Allah, sedangkan pada waktu itu beliau masih berumur 15 tahun. Di manakah kita pada umur tersebut? Masih leka dengan permainan dunia barangkali. Firman Allah lagi di dalam surah Muhammad ayat ke-36:

إِنَّمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا لَعِبٌ وَلَهْوٌ وَإِنْ تُؤْمِنُوا وَتَتَّقُوا يُؤْتِكُمْ أُجُورَكُمْ وَلا يَسْأَلْكُمْ أَمْوَالَكُمْ

Sesungguhnya kehidupan dunia hanyalah permainan dan senda gurau. Dan jika kamu beriman serta bertakwa, Allah akan memberikan pahala kepadamu dan Dia tidak akan meminta harta-hartamu.

Andai kita masih asyik dengan mainan dunia ini, nescaya perkara-perkara thaghut ini tidak akan sekali-kali mampu membantu kita dalam perhitungan hisab di akhirat kelak. Hanya Allah dan RasulNya yang mampu menolong membebaskan kita dari siksaan neraka Jahannam. Nauzubillahi min zalik. Terdapat juga sebuah hadith yang masyhur riwayat daripada Abu Hurairah dalam Sahih Muslim, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: Terdapat 7 orang yang akan mendapat naungan Allah pada hari yang tiada naungan lain selain naungannya. Salah satu golongan tersebut adalah pemuda yang tekun beribadah kepada Allah. Daripada hadith ini, dapat disimpulkan bahawa pemuda yang mampu mencorak hidupnya berlandaskan ajaran Islam, pasti akan mendapat balasan yang adil bahkan lebih banyak nikmat yang akan diterima daripada Allah yang Maha Pemurah. Bukan sahaja ketenangan di dunia, bahkan kesenangan infiniti di akhirat . Barakallahu li walakum...

Wahai pemuda sekalian,
Kita harus sentiasa sedar dan prihatin dengan apa yang berlaku di sekeliling kita, lebih-lebih lagi perkara-perkara dan isu-isu yang melibatkan sesama muslim. Yang paling nyata dan terang-terang berlaku adalah di Palestin, di mana sudah lebih 60 tahun dijajah, diratah dan dipecahbelah oleh Israel laknatullah. Namun kita tidak mampu berbuat apa-apa. Hanya tercengang melihat mereka ditindas dan negara mereka dikebas, sedangkan Palestin juga negara kita! Kita sudah tidak punya banyak masa untuk berehat setelah penat dan bersantai di pantai. BANGUNlah wahai pemuda sekalian dari tidur-tidurmu! Sesungguhnya alam matrix ciptaan manusia ini langsung tidak membantu mengembalikan semula kegemilangan Islam terdahulu. Mungkin apabila dipandang dari sudut kemajuan, bangunan pencakar langit kian hari makin menerobos langit, teknologi mengecil sehalus kuman, penemuan-penemuan saintifik terbaru langsung tidak terfikir dek akal. Namun, pembangunan modal insannya semakin hari semakin luntur. Seharusnya kita sebagai pemuda, mempunyai ciri-ciri yang penting untuk menjamin kebangkitan semula Islam di persada dunia. Iman yang jitu, ikhlas, bersemangat tinggi dan sanggup berkorban merupakan ciri-ciri penting yang tidak ada pada golongan yang lain.