Thursday, November 4, 2010

Manusia umpama ekor cicak

Seketika terduduk menunggu, terlihat kelibat mengkarung. Ternampak pada ekornya sedikit berlainan warnanya berbanding corak badan. Ekor baru barangkali. Terlintas di fikiran, manusia pun lebih kurang serupa keadaannya.

Kenapa manusia dikatakan ibarat ekor cicak? Melihat dari perspektif alam, ekor cicak ini tidaklah banyak pergerakannya ketika bersama badan, namun bergerak beberapa ketika, hanya bila tuan empunya ekor cicak mahukannya bergerak. Mungkin sedikit terikat, tidak boleh bergerak sesuka hati. Namun, ekor itu tetap hidup, bergerak ,dan berfungsi menurut kehendak tuannya. Walaubagaimanapun, ekor cicak tercabut dari badan bila adanya bahaya yang dikesan. Tergedik-gedik, melompat-lompat jadinya setelah terlepas dari badan, seakan-akan tidak mahu berhenti. Namun, itu semua tidak lama. Hanya seketika, lalu ia berhenti bergerak. Kaku. Dikuis, dan dikuis, tiada lagi bernyawa.



Ini satu analogi tentang ekor cicak. Perkaitannya dengan manusia?

1. Manusia umpama ekor cicak kerana manusia itu tidak mampu hidup sendiri, tanpa ada apa-apa yang mengawalnya. Apabila manusia betul-betul berpegang pada satu-satu prinsip, ia akan lebih hidup. Namun prinsip yang mana yang memberi jaminan kehidupan kalau bukan Islam. Ekor cicak mendapat kehidupan bila bersama dengan badan. Manusia juga mendapat kehidupan sebenar bila bersama dengan Islam. Walaupun manusia sedikit terikat dengan peraturan-peraturan, tetapi peraturan-peraturan itulah yang memberikan manusia kehidupan sebenar. Tanpa peraturan tersebut, nescaya manusia leka dan lalai, syok sendiri hingga lupa dunia. Menjadi seperti ekor cicak yang terputus, ligat berdansa, lupa dunia. Tampak ibarat kehidupan begitu lebih indah, tapi itu semua dusta. Seronok hanya sementara, tapi sedetik berlalu, kecundang akhirnya.

2. Manusia umpama ekor cicak kerana mudah gugur dek cubaan2 yang menimpa, walau sekadar cubaan itu sangat kecil, kerana terlalu takut. Jelas, tiada pegangan.

3. Manusia umpama ekor cicak kerana ekor itu tidaklah berguna sangat kepada badannya. Ada fungsinya, tapi bukanlah sesuatu yang utama seperti jantung dan otak. Not the vital parts of the body. Badan tidak perlu sangat kepada ekor, tapi ekor sangat perlu kepada badan. Begitulah juga manusia dan Islam. Islam tidak perlu sangat kepada manusia, tetapi manusia tidak boleh hidup tanpa Islam, tanpa satu pegangan yang menjamin.

4. Manusia ibarat ekor cicak kerana manusia itu akan diganti apabila tidak lagi diperlukan, apabila tidak lagi melaksanakan tuntutan-tuntutan Islam. Firman Allah, “Jika kamu tidak berangkat(menggalas panji Islam), nescaya Allah akan mengazab kamu dengan azab yang pedih, dan Dia akan menggantikan kamu dengan satu bangsa yang lebih baik, dan kamu tidak akan dapat memberi mudharat kepada-Nya”(9:39). Juga firman-Nya, “Jika Dia menghendaki, niscaya Dia memusnahkan kamu dan mendatangkan makhluk yang baru (untuk menggantikan kamu)”(35:16). Inilah dia manusia yang lemah, tidak mampu untuk berbuat apa-apa kecuali ditinggalkan apabila tidak lagi menanggung tanggungjawab yang diberi.

5. Manusia ibarat seekor cicak kerana gugurnya ekor cicak itu sebagai satu pengorbanan yang diberi untuk menyelamatkan tuannya yang lebih utama. Ekor itu sedar yang mana lebih penting untuk diselamatkan, dirinya atau tuannya. Manusia juga sepatutnya sebegitu. Kadang-kadang, perlu kepada pengorbanan diri untuk menyelamatkan deen Islam yang memberinya kehidupan, juga kepada yang lain. Memberi peluang kepada generasi seterusnya untuk meneruskan perjuangan menyambung perjalanan, menjadi rantaian-rantaian penggalas agama ini. Masakan tidak, agama ini tidak akan dapat tertegak tanpa pengorbanan. Lihatlah kembali kepada sirah, bagaimana Rasulullah S.A.W, para sahabat, para tabi’in, tabi’ tabi’in dan golongan-golongan selepas mereka tidak henti-henti berjuang, dan ramai yang terpaksa berkorban berbagai-bagai benda, apatah lagi nyawa.

Ambillah pengajaran wahai manusia sekalian. Tadabburilah alam sekelilingmu, agar menjadi pedoman kepada kita. “Wahai Tuhan kami, tidaklah Engkau ciptakan (alam) ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka hindarkanlah kami dari azab api neraka”(3:191).