Thursday, August 11, 2011

Lain Pokok, Lain Bajanya, Lain Racunnya


Alangkah indahnya ayat-ayat Allah, digarap dalam pelbagai bentuk yang mampu menyentuh jiwa, dan sememangnya al Quran itu diturunkan untuk mengetuk jiwa-jiwa yang sedang tidur dan leka dengan dunia, bak kata Syed Qutb.

Satu renungan iman, bagaimana keadaan iman mampu sihat dan sakit, bertambah dan berkurang, segar dan layu dalam meniti arus kehidupan. Seuntai ayat yang sangat menarik untuk ditadabbur, apakah tidak kita melihat
أَلَمْ تَرَ كَيْفَ ضَرَبَ اللَّهُ مَثَلا كَلِمَةً طَيِّبَةً كَشَجَرَةٍ طَيِّبَةٍ أَصْلُهَا ثَابِتٌ وَفَرْعُهَا فِي السَّمَاءِ
Tidakkah engkau melihat bagaimana Allah membuat perumpamaan kalimah yang baik, ibarat sebuah pokok yang baik, yang akarnya kuat mencengkam tanah, sementara dedahan rimbunannya menjulang ke langit (14:24)
Perumpamaan sebuah pokok digunakan dalam merencanakan konsep Islam sebagai kalimah yang baik. Yakni ibarat pokok yang akarnya menjunam dalam ke bumi sementara dahan-dahannya menerjah lelangit bumi.

Namun di sini, ingin ku tadabburi dari sebuah sudut pandang nan berbeza. Kita lihat iman. Kita lihat pula sebuah pokok kecil. Bagaimana pokok itu ingin terus hidup, begitulah jua iman dalam diri. Di luar sana, terdapat beribu jenis pokok, dan setiap satunya mempunyai fungsi tersendiri, dan memerlukan nutrien-nutrien yang spesifik untuk memastikan mereka terus hidup. Hakikat iman, tiada siapa yang tahu, kecuali Allah.

Arakian, untuk menyentuh iman manusia, tidak semua akan bertambah iman dengan kaedah yang sama. Ada orang akan bertambah iman dengan melihat alam, ada yang dengan membaca ayat-ayat Quran, ada yang dengan mendengar kuliah-kuliah, ada yang dengan melalui perkahwinan, ada yang melalui harta yang banyak, dan sebagainya.

Begitu juga sebaliknya. Boleh jadi perkara-perkara tadi menjadi virus, menjadi racun perosak kepada pokok iman, bergantung kepada jenis pokok masing-masing. Boleh jadi seseorang itu selamat dari fitnah keluarga, namun tidak terlepas dari fitnah wang. Boleh jadi dia bertambah-tambah iman dengan mentadabburi alam, tetapi terus jatuh terkulai apabila jauh dari orang-orang yang sentiasa mengingatkan dia.

Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal. Ada orang yang boleh terus tidur tanpa bantal, bahkan sewaktu masih duduk pun. Ada yang perlukan selimut, bantal peluk, tilam yang empuk, keadaan yang gelap dan sunyi untuk mendapat tidur yang lena, namun ada juga yang tidak perlukan apa-apa untuk mendapat tidur yang efektif. Letak sahaja kepala, nah, terus terlelap!

Cepat-cepatlah kita kenal pasti apakah jenis pokok iman kita, supaya tidak mudah goyah bila bencana berlaku, mencengkam kuat pada tanah, bahkan sentiasa bersedia dengan bekalan-bekalan yang menambahkan kembali kekuatan iman.

No comments:

Post a Comment